Daeng Saring @ Daeng Saing adalah salah seorang yang dipercayai berasal daripada keturunan Kerajaan Riau yang telah memasuki kepulauan Borneo melalui Brunei dan dipercayai keturunan beliau kini berada di sekitar Brunei, Sarawak, Sabah dan W.P.Labuan. Sehubungan dengan itu, maka terhasilnya Blog ini bagi bertujuan untuk menjejaki Salasilah Keluarga Daeng Saring @ Saing yang berada di sekitar Borneo dan berkemungkinan juga telah berada di Semenanjung Malaysia, Indonesia, Filipina dan kawasan-kawasan sekitarnya.



Rabu, 30 Disember 2009

Ziarah ke Makam Panglima Hj Laut Bin Daeng Saring

Artikel ini telah disumbangkan oleh Pn. Zurinah Bte Matali. Daripada rekod salasilah yang telah berjaya dikumpulkan, Pn Zurinah ini adalah merupakan keturunan ke-7 daripada Salasilah Daeng Saring ini, iaitu daripada Ibu - Rabiah Bte Hj Bakar. (Zurinah - Rabiah- Hj Bakar- Hj Omar- Hj Talib- Dg Sitam- Panglima Hj Laut- Daeng Saring)


Diucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Pn Zurinah bagi maklumat berharga yang merupakan maklumat yang dicari-cari dalam menambahkan lagi rekod maklumat di dalam Salasilah Daeng Saring ini.


Ziarah ke Makam Panglima Hj Laut Bin Daeng Saring
Lokasi Makam: Lumut, Siang-Siang Laut Lawas, Sarawak
Tarikh Ziarah : 27/12/2009 (Ahad)

Perjalanan dimulakan pada hari Jumaat 25/12/2009 dari Kota Kinabalu menuju ke daerah Sipitang (144km dari Kota Kinabalu). Kami sekeluarga bermalam di Sipitang, kebetulan pada hari Sabtu 26/12/2009 kami menghadiri dua majlis perkahwinan saudara iaitu di Kg. Mesapol dan Kg. Pelakat.
Pada 27/12/2009 (Ahad) lebih kurang jam 8.00 pagi kami sekeluarga seramai 6 orang termasuk Nini/Nenek Ahad (Kaimi @ Ahad Bin Hj Yusuf) bertolak dari Pekan Mesapol, Sipitang menuju ke Lawas, Sarawak (lebih kurang 45km dari Pekan Sipitang). Sampai sahaja di Lawas, kami terus menuju ke Kg Punang iaitu bagi memastikan adakah perhubungan jalanraya menuju ke Kg Siang-Siang seperti yang dimaklumkan kepada kami oleh beberapa orang rakan. Ini adalah kerana maklumat daripada Nini Ahad yang telah pernah sekali mengziarahi makam tersebut melalui Kg Punang lebih kurang 9 tahun yang lepas. Pada ketika itu Kg. Siang-Siang hanya boleh dihubungi melalui jalan sungai. Maklumat daripada orang Kg Punang, Kg Siang-Siang terbahagi kepada Siang-Siang Darat dan Siang-Siang Laut. Melalui gambaran yang diberikan oleh Nini Ahad, orang di Kg Punang membuat andaian kedudukan makam Panglima Hj Laut adalah di Kg Siang-Siang Laut dan memang sah telah ada perhubungan jalanraya menuju ke Kg tersebut, tetapi bagi yang belum pernah melalui jalan tersebut, kami dinasihati supaya mendapatkan seseorang jurupandu/gait bagi menunjuk arah ke Kg dan seterusnya ke lokasi makam tersebut. Ini disebabkan jalan menuju ke Kg tersebut adalah melalui jalan Ladang Kelapa Sawit yang mempunyai banyak simpang.

Sepanjang perjalanan kami menuju ke Kg Siang-Siang Laut, lebih kurang 3-4x kami bertanya arah kepada beberapa orang yang dijumpai kerana tidak terdapatnya Papan Tanda (Sign Board) bagi menuju ke Kg tersebut. Dengan izin Allah Taala, sesampai di simpang menuju ke Kg Siang-Siang Laut tersebut, kami dipertemukan dengan salah seorang waris daripada Panglima Hj Laut iaitu Sabtu Bin Lamat(kalau ikut pangkat keturunan ialah ‘Pangkat Nini/Nenek’) yang kebetulan sedang dalam perjalanan menuju ke majlis kenduri kahwin salah seorang saudara beliau. Daripada maklumat yang diperolehi daripada Nini Sabtu lokasi makam tersebut ialah di Lumut dan masih tidak dapat dihubungi melalui jalanraya yang mana hanya boleh dihubungi melalui berjalan kaki (lebih kurang 2 jam) dan jalan sungai, kebetulan pada masa tersebut kebanyakan pemilik bot di Kg tersebut semua keluar menangkap ikan. Maklumat yang diberikan oleh penduduk di Kg Punang pada awalnya memang tepat iaitu memang kawasan makam di Kg Siang-Siang dapat dihubungi melalui jalan kereta, tetapi terdapat 3 kawasan permakanan yang berbeza di Kg tersebut dan bagi lokasi makam Panglima Hj Laut adalah merupakan makam lama dan hanya boleh dihubungi melalui berjalan kaki ataupun jalan sungai.

Daripada perbincangan dengan Nini Sabtu itu jelas harapan hendak mengziarahi makam Panglima Hj Laut pada hari tersebut tidak kecapaian memandangkan beberapa masalah perhubungan seperti masalah bot, jalan ke Pengkalan yang rosak yang hanya sesuai untuk kereta Pacuan Empat Roda (Jalan Ladang Kelapa Sawit), keadaan cuaca juga seperti tidak mengizinkan, faktor masa dan banyak lagi masalah sampingan. Berkat ketabahan, kesabaran, kecekalan, kebijaksanaan Nini Ahad dan bantuan daripada Nini Sabtu, dengan izin Allah Taala akhirnya kami sampai juga ke tempat yang dituju lebih kurang jam 3.30 ptg. Selain daripada makam Panglima Hj Laut, terdapat juga makam keluarga terdekat Hj Laut yang lain seperti Bunga (isteri), Tanjung (Ibu kepada Kalsom), anak Hj Laut (nama tidak dipastikan), Panglima Marali dan lain-lain lagi, cuma tidak dapat dipastikan kaitan daripada mana. Dianggarkan makam Panglima Hj Laut telah berusia lebih kurang 111 tahun.

Melalui maklumat daripada Nini Sabtu juga, walaupun Nini Sabtu tidak tahu akan nama Daeng Saring sebelumnya, kedudukan makam bapa kepada Panglima Hj Laut iaitu Daeng Saring ialah di Brunei dan beliau pernah mengziarahi makam tersebut pada suatu masa dulu. Melalui cerita lisan daripada keluarga mereka juga dipercayai yang bapa Panglima Hj Laut ini (Daeng Saring) adalah keturunan diRaja.


Lebih kurang jam 6.00 ptg kami bertolak balik daripada rumah Nini Sabtu di Kg Siang-Siang Laut. Kami sampai di Kota Kinabalu lebih kurang jam 11.30 mlm. Kami sekeluarga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada keluarga Nini Sabtu Bin Lamat dan keluarga Nini Ag Tuah Bin Lamat (pemilik bot) di atas layanan baik sepanjang siri ziarah tersebut.

Sebagai kesimpulannya, perjalanan ziarah ke Makam Panglima Hj Laut Bin Daeng Saring ini, sama ada sedar atau tidak terdapat banyak kebetulan-kebetulan yang telah tidak diduga yang membawa kepada kelancaran siri ziarah ini. Inilah yang dikatakan ‘kita hanya merancang, tetapi Allah yang menentukan’. ‘Kebetulan’ yang menarik juga ialah berjumpanya dua saudara yang sebelum ini tidak mengenali antara satu sama lain yang mempunyai nama yang begitu sering kita sebut dan kenali iaitu ‘Sabtu’ dan ‘Ahad’.

Berikut adalah beberapa gambar-gambar yang sempat dirakamkan disepanjang siri ziarah tersebut....

Tapak Dewan & Masjid Kg Siang-Siang Laut

Semasa menunggu Bot untuk ke Lokasi Makam Panglima Hj Laut


Sabtu & Ahad


Jalan Perhubungan ke Makam Panglima Hj Laut

Makam Panglima Hj Laut Bin Daeng Saring
Batu nisan berbentuk ‘Pemegang Parang’ adalah diambil dan diangkat sendiri oleh Panglima Hj Laut daripada Pulau Saa’ie semasa hayatnya sebagai persediaan untuk batu nisan beliau sendiri setelah beliau kembali ke rahmatullah. Dianggarkan makam ini telah berusia lebih dari 111 tahun. Semasa hayatnya juga Panglima Hj Laut dipercayai pernah singgah di sebuah Pulau yang dinamakan Pulau Langkapuri iaitu berkaitan dengan peristiwa semasa balik daripada menunaikan Ibadah Haji kapal telah patah kemudi dan kehabisan bekalan air (dipercayai beliaulah yang membaiki kemudi kapal tersebut). Semasa beliau mendarat di pulau tersebut, beliau telah ditegur/disapa oleh seseorang yang mengenali beliau. Di dalam pulau tersebut terdapatnya 7 buah perigi dan perigi yang ke-7 lah tempat beliau mengambil air tersebut. Selepas beliau naik ke kapal semula, pulau tersebut telah didapati ghaib/hilang dari pandangan.
Makam Bunga (Isteri Panglima Hj Laut)
Makam Panglima Maarali

-SEKIAN, TERIMA KASIH-

Isnin, 21 Disember 2009

Tengku Kedah



Tuanku Said Muhammad Ibni Tuanku Said Muhammad Shahbuddin (Tengku Kedah).
Lahir dan dibesarkan di Mekah, berhijrah ke Kedah dan W.P.Labuan pada tahun 1896M (1313H/1314H). Beliau adalah seorang pedagang dan pendakwah.
Sebelum menetap di W.P.Labuan, beliau pernah menetap selama dua (2) tahun di Kuching, Sarawak.
Meninggal dunia pada tahun 1943M (1361H/1362H/1363H) ketika berusia 116 tahun di Kg. Ranca-Ranca W.P.Labuan.
Makam Tengku Syarif Kedah
Tengku Kedah atau lebih dikenali dengan nama 'Tuanku' ataupun 'Syarif Kedah' adalah salah seorang yang amat dikenali terutama bagi masyarakat lama di sekitar W.P.Labuan dan kawasan berdekatannya. Beliau merupakan salah seorang penyebar agama islam yang terkenal pada suatu ketika dahulu. Tidak banyak maklumat berfakta yang diketahui tentang beliau selain daripada cerita-cerita lisan daripada orang-orang yang pernah mengenali beliau.
Sebab musabab kepada gelaran 'Tengku Kedah / Syarif Kedah' juga tidak dapat dipastikan puncanya. Berkemungkinan Kedah adalah tempat pertama beliau jejaki di rantau ini sebelum berhijrah ke W.P. Labuan menyebabkan masyarakat setempat mengelarnya Syarif dari Kedah ataupun ringkasnya 'Syarif Kedah', ataupun berkemungkinan juga ada di antara golongan orang lama di Kedah sendiri yang mengenali ataupun mengetahui akan sejarah beliau yang mungkin dapat menjelaskan akan biodata lanjut Syarif Kedah itu sendiri.
Status Tengku Kedah ini juga, samada mempunyai keluarga atau tidak selama beliau berada di kepulauan Borneo ini juga tidak dapat dipastikan, ada juga khabar angin menyatakan beliau mempunyai anak angkat, tidak tau sejauh mana kebenarannya.
Makam Hj Talib
Penceritaan secara lisan yang diperolehi, Syarif Kedah ini adalah merupakan sahabat karib kepada salah seorang daripada keturunan Daeng Saring@ Saieng ini iaitu Hj. Talib Bin Rahman. Hirakinya adalah 'Hj. Talib - Dg. Sitam (Ibu Hj. Talib/Isteri kepada Rahman) - Panglima Hj. Laut - Daeng Saring@ Saieng' dan kedua mereka ini telah mengaku bersaudara (adik-beradik).
Pada pandangan peribadi saya, keakraban di antara Syarif Kedah dengan Hj. Talib berkemungkinan dapat dilihat ataupun dikaitkan daripada akan persamaan keadaan makam mereka berdua. Bagi sesiapa yang pernah menziarahi makam Syarif Kedah ini yang terletak di Kg. Ranca-Ranca W.P. Labuan dengan makam Hj. Talib yang terletak di Kg. Mesapol di daerah Sipitang tentu akan dapat melihat persamaan keadaan di antara keduanya.
Sekian.

Selasa, 15 Disember 2009

Maklumat Diperlukan

Assalamualaikum wbkt…..
Kepada semua pengunjung yang dihormati, sekiranya para pengunjung mempunyai sebarang artikel/ gambar/ cadangan/ pandangan/ pengumuman/ pemberitahuan berkaitan Salasilah Daeng Saring @ Saieng yang hendak diterbitkan di Blog ini diminta menghantarkan sebarang maklumat tersebut ke email seperti berikut:-

kuciakkuciak@gmail.com

Bagi semua waris keturunan Daeng Saring @ Saieng yang telah menjumpai Blog ini juga sekiranya tidak menjadi keberatan dan dipersetujui untuk dipaparkan di Blog ini amatlah diharapkan supaya dapat menghantarkan Gambar Keluarga masing-masing ke email seperti yang dinyatakan di atas, termasuk juga gambar-gambar bagi keluarga yang telah kembali ke Rahmatullah seperti gambar Ibu, Bapa, Nenek, Datuk, Moyang (lagi lama lagi baik) untuk dimuatkan kedalam Blog ini untuk dikongsi bersama agar kita dan generasi yang akan datang dapat mengenali antara satu sama lain bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahhim sesama kita.

Perkara tidak mengenali sesama keluarga ini sering berlaku sejak kebelakangan ini. terutamanya bagi keluarga yang menetap di tempat yang berasingan dan berjauhan antara satu sama lain. Ada juga kekadang berlaku, walaupun tinggal di kawasan yang berdekatan tetapi tidak mengenali keluarga sendiri disebabkan tidak pernah bersua muka. Selain itu, ada juga di antara kita yang hanya tahu akan nama-nama bagi keluarga yang lain, tetapi tidak mengenali akan rupa ataupun individu tersebut, seperti kata orang ‘terlanggar bahu sekalipun tidak mengenali keluarga sendiri’.

Jadi, sekiranya di dalam Blog ini nanti telah ada koleksi ataupun galeri gambar-gambar keluarga ini, sedikit sebanyak ia akan dapat membantu memudahkan kita mengenal di antara sesama kita.

Sekian, Wasalam.

Jumaat, 4 Disember 2009

Mukadimah

Assalamualaikum wbkt…

Daripada penceritaan secara lisan, dipercayai asal usul Salasilah Daeng Saring adalah berasal daripada Johor-Riau, cuma tidak dapat dipastikan sejauhmana kebenarannya memandangkan tiadanya sebarang bahan rujukan yang dapat membuktikannya, dan baru-baru ini saya telah cuba mencari bahan-bahan bagi mempastikan dakwaan itu berasas.

Penceritaan secara lisan yang diperolehi daripada keluarga yang terdahulu, ada menceritakan akan Salasilah Daeng Saring adalah berasal daripada Johor-Riau.

Sinopsis ceritanya lebih kurang begini :

“Semasa berlaku perpecahan di Riau dahulu berlakunya pertengkaran antara ahli keluarga/pembesar yang puncanya daripada perebutan kepada seorang wanita, akibat daripada itu Daeng Saring bersama adiknya Daeng Kemboja telah melarikan diri ke Borneo melalui Brunei, seterusnya ke Lawas Sarawak. Daeng Saring telah berkeluarga di Sundar, Lawas Sarawak dan tidak mahu lagi balik ke Riau, manakala adiknya Daeng Kemboja telah balik ke Riau.

Dalam perjalanan balik ke Riau, sampai di Johor, telah berlaku satu peristiwa di mana beliau telah didatangi oleh seekor Gajah yang mana sepertinya beliau telah dinobatkan oleh Gajah tersebut untuk ditabalkan menjadi Raja (mengikut penceritaan secara lisan tersebut, Gajah tersebut dapat mengenal akan keturunan Raja-Raja, tak tahu sejauh mana kebenarannya), kebetulan pula pada masa tersebut diceritakan kerajaan Johor tidak mempunyai Raja”.

Jadi begitulah serba sedikit ringkasan ceritanya. Daripada itu saya cuba mencari maklumat melalui laman2 web berkaitan sejarah Bugis Johor-Riau. Dalam pencarian tersebut saya mencari-cari zaman mana yang ada keturunan Daeng-Daeng ini. Memandangkan saya ni bukan juga seorang yang arif pasal sejarah, maka saya sangat teruja bila mendapati adanya nama Daeng Kemboja dalam Salasilah Kesultanan Melayu Johor-Riau, sebaliknya pula saya tidak menemui akan nama Daeng Saring, dan daripada apa yang diperolehi, tiadapun sebarang nama yang berkaitan dengan Daeng Saring dalam Salasilah Daeng Kemboja tersebut. Daripada ini membuatkan saya menjadi keliru adakah Daeng Kemboja yang diceritakan secara turun temurun tersebut itu adalah orang yang sama atau berlainan. Tapi bila dilihat dari logik akal dari mana datangnya nama Daeng Kemboja seperti yang diceritakan secara turun temurun itu.???. ataupun bagaimana keluarga yang terdahulu tahu akan maklumat tersebut seperti nama Daeng Kemboja. Saya ada juga diberitahu akan adanya salasilah bertulisan jawi yang diperbuat daripada kulit kambing yang telah dibawa bersama semasa Daeng Saring dan Daeng Kemboja sampai ke Borneo dahulu, tetapi difahamkan salasilah tersebut telah tidak dapat dikesan.

Maka dengan itulah, salah satu daripada matlamat pembangunan Blog ini ialah bagi mengumpulkan sebarang maklumat, pandangan atau cadangan daripada para pengunjung yang berkemungkinan juga adalah merupakan salah seorang daripada Salasilah Keluarga ini bagi menjejak Salasilah ini agar dapat mengeratkan lagi perhubungan silaturahim.

Setakat ini Salasilah Daeng Saring@Saieng yang telah berjaya dikumpulkan adalah sebanyak 10 generasi iaitu daripada 2 orang anak beliau iaitu Panglima Hj. Laut dan Tanjung. Berkemungkinan juga terdapat lagi anak-anak Daeng Saring yang tidak diketahui. Ini adalah kerana daripada penceritaan keluarga yang terdahulu menyatakan berkemungkinan ada keturunan Daeng Saring yang berada di sekitar Brunei, Lawas Sarawak dan yang berdekatan. Hujah tersebut juga disokong dengan kedudukan makam Panglima Hj. Laut Bin Daeng Saring yang berada di daerah Lawas Sarawak.

Selain itu, daripada 10 generasi Daeng Saring yang telah berjaya dikumpulkan juga, tiadanya terdapat sebarang rekod/maklumat berkaitan dengan anak Daeng Saring yang ke-2 iaitu daripada Tanjung. Maklumat terakhir yang diperolehi adalah setakat anak kepada Tanjung iaitu Kalsom sahaja. Daripada Kalsom ini juga telah berlaku satu peristiwa yang berkemungkinan berkaitan dengan Kesultanan Sulu pada masa dahulu sehingga ada di antara salah seorang daripada salasilah Daeng Saring ini menggunakan kembali nama ‘Kalsom’ ini bagi mengingati peristiwa yang berlaku tersebut. Dipercayai keturunan daripada Kalsom ini berkemungkinan berada di Selatan Filipina.

Begitulah serba sedikit mukidamah yang telah mendorong kepada pembangunan Blog ini yang mana melalui Blog ini segala rekod berkaitan Salasilah Keluarga dapat dikumpulkan dan dipelihara dengan baik sebagai satu warisan zaman berzaman yang menjadi khazanah untuk pengetahuan bagi generasi yang akan datang.

Sekian, Wasalam.