Daeng Saring @ Daeng Saing adalah salah seorang yang dipercayai berasal daripada keturunan Kerajaan Riau yang telah memasuki kepulauan Borneo melalui Brunei dan dipercayai keturunan beliau kini berada di sekitar Brunei, Sarawak, Sabah dan W.P.Labuan. Sehubungan dengan itu, maka terhasilnya Blog ini bagi bertujuan untuk menjejaki Salasilah Keluarga Daeng Saring @ Saing yang berada di sekitar Borneo dan berkemungkinan juga telah berada di Semenanjung Malaysia, Indonesia, Filipina dan kawasan-kawasan sekitarnya.



Khamis, 18 Jun 2020

TRADISI LISAN (PANGLIMA HJ LAUT)

TRADISI LISAN PANGLIMA HJ LAUT

Biografi
Hj Laut atau lebih dikenali dengan gelaran Panglima Hj Laut ialah merupakan seorang yang terkenal dan sangat berpengaruh semasa zamannya.  Beliau terkenal sebagai seorang yang mempunyai banyak kelebihan-kelebihan yang jarang dimiliki oleh orang lain, terutamanya dari segi kekuatan tenaga, seorang yang berani, gagah dan disegani. Selain itu juga, beliau ialah seorang pelayar yang hebat yang mana beliau mempunyai kapal beliau sendiri yang sering digunakan sebagai tumpangan untuk menunaikan haji pada masa dahulu. Beliau juga merupakan salah seorang yang berkait rapat dengan kerabat istana di zaman kesultanan brunei suatu masa lalu.

Kelahiran
Setakat kini maklumat kelahiran Panglima Hj Laut masih belum diperolehi dan masih dalam proses kajian berterusan.

Ibu, Bapa & Adik Beradik
Nama ibu beliau juga tidak diperolehi, manakala bapa beliau pula ialah Daeng Saring, iaitu merupakan saudara tua/ abang kepada Daeng Kemboja (Daeng Kemboja merupakan seseorang yang memainkan peranan penting di dalam sejarah Kesultanan Melayu di Nusantara). Mengikut data yang diperolehi sehingga kini, Panglima Hj Laut mempunyai lima (5) orang adik beradik.

Isteri Anak-Anak
Setakat yang diketahui, beliau mempunyai 4 orang isteri, dua (2) isteri tidak mempunyai anak dan dua (2) isteri lagi mempunyai anak iaitu melalui isteri beliau yang bernama Dayang Bunga dan Mariam. Berkemungkinan juga beliau mempunyai lebih daripada empat (4) orang isteri.

Maklumat yang diperolehi sehingga kini, terdapat dua belas (12) nama anak kepada Panglima Hj Laut ini, iaitu :
1.         Dayang Sitam              
2.         Taip                               
3.         Tasad                             
4.         Salleh                                              
5.         Mohamad                             
6.         Bakar  
7.      Mohd Wali        
8.      Abdul Razak          
9.     Rafeah
10.    Abas
11.    Hj Misir             
12.    Adis
 

Gelaran Panglima
Terdapat dua maklumat yang membawa kepada Gelaran “Panglima” dan masih dalam kajian berterusan maklumat mana yang lebih relevan kepada gelaran tersebut, tetapi yang pasti perkara ini kedua-duanya mengambarkan akan keberanian dan kegagahan beliau, maklumat tersebut adalah seperti berikut :
1.  Disebabkan keberanian dan kegagahannya dapat  memperisterikan Dayang Bunga (Dayang Bunga merupakan salah seorang kerabat Kesultanan Brunei pada masa dahulu). Gelaran diberikan oleh salah seorang Sultan Brunei pada zaman tersebut.

2.  Disebabkan satu peristiwa yang berlaku semasa beliau membawa para jemaah haji mengerjakan haji ke Mekah, kapal yang digunakan mengalami masalah kemudi kapal patah, pada masa tersebut perjalanan pergi Mekah memakan masa enam (6) bulan) . Semasa perjalanan balik, berlaku kemudi kapal patah di pertengahan jalan. Memandangkan dengan kelebihan yang ada pada Panglima Hj Laut, beliaulah yang memegang kemudi kapal yang patah itu sehingga mengambil masa berbulan dan ada masa-masa tertentu, beliau makan hanya disuapi oleh orang lain disebabkan beliau memegang kemudi kapal tersebut sehingga sampai ke tempat dituju. Daripada peristiwa itulah maka gelaran Panglima diberikan kepada beliau.

Lain-Lain Berkenaan Panglima Hj Laut
Semasa tempoh perjalanan ke Mekah juga, dengan menggunakan kapal laut, pada suatu ketika bekalan air mereka habis dan Hj Laut telah singgah di sebuah pulau untuk mengambil bekalan air. Semasa beliau mendarat di Pulau tersebut, beliau telah ditegur/disapa oleh seseorang yang mengenali beliau. Di dalam Pulau tersebut terdapat 7 buah perigi dan perigi yang ke-7 lah tempat beliau mengambil air tersebut. Selepas beliau naik ke kapal semula, pulau tersebut telah didapati ghaib/hilang dari pandangan. Pulau tersebut dikenali sebagai Pulau Langkapuri.

Kembali Kerahmatullah
Beliau kembali kerahmatullah pada tahun 1898 masehi dan dikebumikan di Kg Lumut, Siang-Siang, Lawas, Sarawak.

Sumbangan Kepada Masyarakat
- Sebagai pemberi khidmat  kepada masyarakat bagi membolehkan masyarakat dapat mengerjakan haji ke Mekah.
- Membenarkan kemudahan pinjaman kepada bakal haji yang akan menunaikan haji ke Mekah melalui anak saudaranya.
- Pembukaan penempatan baru dan yang seterusnya dicontohi oleh anak cucu cicit dan kaum keluarga beliau bagi pembukaan penempatan baru seperti di beberapa kg di WP Labuan, Mesapol, Sipitang. Sabah, Lawas Sarawak.

Kemaskini Mei 2020

Tiada ulasan:

Catat Ulasan