Diucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Pn Zurinah bagi maklumat berharga yang merupakan maklumat yang dicari-cari dalam menambahkan lagi rekod maklumat di dalam Salasilah Daeng Saring ini.
Lokasi Makam: Lumut, Siang-Siang Laut Lawas, Sarawak
Tarikh Ziarah : 27/12/2009 (Ahad)
Perjalanan dimulakan pada hari Jumaat 25/12/2009 dari Kota Kinabalu menuju ke daerah Sipitang (144km dari Kota Kinabalu). Kami sekeluarga bermalam di Sipitang, kebetulan pada hari Sabtu 26/12/2009 kami menghadiri dua majlis perkahwinan saudara iaitu di Kg. Mesapol dan Kg. Pelakat.
Sepanjang perjalanan kami menuju ke Kg Siang-Siang Laut, lebih kurang 3-4x kami bertanya arah kepada beberapa orang yang dijumpai kerana tidak terdapatnya Papan Tanda (Sign Board) bagi menuju ke Kg tersebut. Dengan izin Allah Taala, sesampai di simpang menuju ke Kg Siang-Siang Laut tersebut, kami dipertemukan dengan salah seorang waris daripada Panglima Hj Laut iaitu Sabtu Bin Lamat(kalau ikut pangkat keturunan ialah ‘Pangkat Nini/Nenek’) yang kebetulan sedang dalam perjalanan menuju ke majlis kenduri kahwin salah seorang saudara beliau. Daripada maklumat yang diperolehi daripada Nini Sabtu lokasi makam tersebut ialah di Lumut dan masih tidak dapat dihubungi melalui jalanraya yang mana hanya boleh dihubungi melalui berjalan kaki (lebih kurang 2 jam) dan jalan sungai, kebetulan pada masa tersebut kebanyakan pemilik bot di Kg tersebut semua keluar menangkap ikan. Maklumat yang diberikan oleh penduduk di Kg Punang pada awalnya memang tepat iaitu memang kawasan makam di Kg Siang-Siang dapat dihubungi melalui jalan kereta, tetapi terdapat 3 kawasan permakanan yang berbeza di Kg tersebut dan bagi lokasi makam Panglima Hj Laut adalah merupakan makam lama dan hanya boleh dihubungi melalui berjalan kaki ataupun jalan sungai.
Daripada perbincangan dengan Nini Sabtu itu jelas harapan hendak mengziarahi makam Panglima Hj Laut pada hari tersebut tidak kecapaian memandangkan beberapa masalah perhubungan seperti masalah bot, jalan ke Pengkalan yang rosak yang hanya sesuai untuk kereta Pacuan Empat Roda (Jalan Ladang Kelapa Sawit), keadaan cuaca juga seperti tidak mengizinkan, faktor masa dan banyak lagi masalah sampingan. Berkat ketabahan, kesabaran, kecekalan, kebijaksanaan Nini Ahad dan bantuan daripada Nini Sabtu, dengan izin Allah Taala akhirnya kami sampai juga ke tempat yang dituju lebih kurang jam 3.30 ptg. Selain daripada makam Panglima Hj Laut, terdapat juga makam keluarga terdekat Hj Laut yang lain seperti Bunga (isteri), Tanjung (Ibu kepada Kalsom), anak Hj Laut (nama tidak dipastikan), Panglima Marali dan lain-lain lagi, cuma tidak dapat dipastikan kaitan daripada mana. Dianggarkan makam Panglima Hj Laut telah berusia lebih kurang 111 tahun.
Melalui maklumat daripada Nini Sabtu juga, walaupun Nini Sabtu tidak tahu akan nama Daeng Saring sebelumnya, kedudukan makam bapa kepada Panglima Hj Laut iaitu Daeng Saring ialah di Brunei dan beliau pernah mengziarahi makam tersebut pada suatu masa dulu. Melalui cerita lisan daripada keluarga mereka juga dipercayai yang bapa Panglima Hj Laut ini (Daeng Saring) adalah keturunan diRaja.
Lebih kurang jam 6.00 ptg kami bertolak balik daripada rumah Nini Sabtu di Kg Siang-Siang Laut. Kami sampai di Kota Kinabalu lebih kurang jam 11.30 mlm. Kami sekeluarga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada keluarga Nini Sabtu Bin Lamat dan keluarga Nini Ag Tuah Bin Lamat (pemilik bot) di atas layanan baik sepanjang siri ziarah tersebut.
Sebagai kesimpulannya, perjalanan ziarah ke Makam Panglima Hj Laut Bin Daeng Saring ini, sama ada sedar atau tidak terdapat banyak kebetulan-kebetulan yang telah tidak diduga yang membawa kepada kelancaran siri ziarah ini. Inilah yang dikatakan ‘kita hanya merancang, tetapi Allah yang menentukan’. ‘Kebetulan’ yang menarik juga ialah berjumpanya dua saudara yang sebelum ini tidak mengenali antara satu sama lain yang mempunyai nama yang begitu sering kita sebut dan kenali iaitu ‘Sabtu’ dan ‘Ahad’.
Berikut adalah beberapa gambar-gambar yang sempat dirakamkan disepanjang siri ziarah tersebut....

-SEKIAN, TERIMA KASIH-