Daeng Saring @ Daeng Saing adalah salah seorang yang dipercayai berasal daripada keturunan Kerajaan Riau yang telah memasuki kepulauan Borneo melalui Brunei dan dipercayai keturunan beliau kini berada di sekitar Brunei, Sarawak, Sabah dan W.P.Labuan. Sehubungan dengan itu, maka terhasilnya Blog ini bagi bertujuan untuk menjejaki Salasilah Keluarga Daeng Saring @ Saing yang berada di sekitar Borneo dan berkemungkinan juga telah berada di Semenanjung Malaysia, Indonesia, Filipina dan kawasan-kawasan sekitarnya.



Rabu, 30 Disember 2009

Ziarah ke Makam Panglima Hj Laut Bin Daeng Saring

Artikel ini telah disumbangkan oleh Pn. Zurinah Bte Matali. Daripada rekod salasilah yang telah berjaya dikumpulkan, Pn Zurinah ini adalah merupakan keturunan ke-7 daripada Salasilah Daeng Saring ini, iaitu daripada Ibu - Rabiah Bte Hj Bakar. (Zurinah - Rabiah- Hj Bakar- Hj Omar- Hj Talib- Dg Sitam- Panglima Hj Laut- Daeng Saring)


Diucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Pn Zurinah bagi maklumat berharga yang merupakan maklumat yang dicari-cari dalam menambahkan lagi rekod maklumat di dalam Salasilah Daeng Saring ini.


Ziarah ke Makam Panglima Hj Laut Bin Daeng Saring
Lokasi Makam: Lumut, Siang-Siang Laut Lawas, Sarawak
Tarikh Ziarah : 27/12/2009 (Ahad)

Perjalanan dimulakan pada hari Jumaat 25/12/2009 dari Kota Kinabalu menuju ke daerah Sipitang (144km dari Kota Kinabalu). Kami sekeluarga bermalam di Sipitang, kebetulan pada hari Sabtu 26/12/2009 kami menghadiri dua majlis perkahwinan saudara iaitu di Kg. Mesapol dan Kg. Pelakat.
Pada 27/12/2009 (Ahad) lebih kurang jam 8.00 pagi kami sekeluarga seramai 6 orang termasuk Nini/Nenek Ahad (Kaimi @ Ahad Bin Hj Yusuf) bertolak dari Pekan Mesapol, Sipitang menuju ke Lawas, Sarawak (lebih kurang 45km dari Pekan Sipitang). Sampai sahaja di Lawas, kami terus menuju ke Kg Punang iaitu bagi memastikan adakah perhubungan jalanraya menuju ke Kg Siang-Siang seperti yang dimaklumkan kepada kami oleh beberapa orang rakan. Ini adalah kerana maklumat daripada Nini Ahad yang telah pernah sekali mengziarahi makam tersebut melalui Kg Punang lebih kurang 9 tahun yang lepas. Pada ketika itu Kg. Siang-Siang hanya boleh dihubungi melalui jalan sungai. Maklumat daripada orang Kg Punang, Kg Siang-Siang terbahagi kepada Siang-Siang Darat dan Siang-Siang Laut. Melalui gambaran yang diberikan oleh Nini Ahad, orang di Kg Punang membuat andaian kedudukan makam Panglima Hj Laut adalah di Kg Siang-Siang Laut dan memang sah telah ada perhubungan jalanraya menuju ke Kg tersebut, tetapi bagi yang belum pernah melalui jalan tersebut, kami dinasihati supaya mendapatkan seseorang jurupandu/gait bagi menunjuk arah ke Kg dan seterusnya ke lokasi makam tersebut. Ini disebabkan jalan menuju ke Kg tersebut adalah melalui jalan Ladang Kelapa Sawit yang mempunyai banyak simpang.

Sepanjang perjalanan kami menuju ke Kg Siang-Siang Laut, lebih kurang 3-4x kami bertanya arah kepada beberapa orang yang dijumpai kerana tidak terdapatnya Papan Tanda (Sign Board) bagi menuju ke Kg tersebut. Dengan izin Allah Taala, sesampai di simpang menuju ke Kg Siang-Siang Laut tersebut, kami dipertemukan dengan salah seorang waris daripada Panglima Hj Laut iaitu Sabtu Bin Lamat(kalau ikut pangkat keturunan ialah ‘Pangkat Nini/Nenek’) yang kebetulan sedang dalam perjalanan menuju ke majlis kenduri kahwin salah seorang saudara beliau. Daripada maklumat yang diperolehi daripada Nini Sabtu lokasi makam tersebut ialah di Lumut dan masih tidak dapat dihubungi melalui jalanraya yang mana hanya boleh dihubungi melalui berjalan kaki (lebih kurang 2 jam) dan jalan sungai, kebetulan pada masa tersebut kebanyakan pemilik bot di Kg tersebut semua keluar menangkap ikan. Maklumat yang diberikan oleh penduduk di Kg Punang pada awalnya memang tepat iaitu memang kawasan makam di Kg Siang-Siang dapat dihubungi melalui jalan kereta, tetapi terdapat 3 kawasan permakanan yang berbeza di Kg tersebut dan bagi lokasi makam Panglima Hj Laut adalah merupakan makam lama dan hanya boleh dihubungi melalui berjalan kaki ataupun jalan sungai.

Daripada perbincangan dengan Nini Sabtu itu jelas harapan hendak mengziarahi makam Panglima Hj Laut pada hari tersebut tidak kecapaian memandangkan beberapa masalah perhubungan seperti masalah bot, jalan ke Pengkalan yang rosak yang hanya sesuai untuk kereta Pacuan Empat Roda (Jalan Ladang Kelapa Sawit), keadaan cuaca juga seperti tidak mengizinkan, faktor masa dan banyak lagi masalah sampingan. Berkat ketabahan, kesabaran, kecekalan, kebijaksanaan Nini Ahad dan bantuan daripada Nini Sabtu, dengan izin Allah Taala akhirnya kami sampai juga ke tempat yang dituju lebih kurang jam 3.30 ptg. Selain daripada makam Panglima Hj Laut, terdapat juga makam keluarga terdekat Hj Laut yang lain seperti Bunga (isteri), Tanjung (Ibu kepada Kalsom), anak Hj Laut (nama tidak dipastikan), Panglima Marali dan lain-lain lagi, cuma tidak dapat dipastikan kaitan daripada mana. Dianggarkan makam Panglima Hj Laut telah berusia lebih kurang 111 tahun.

Melalui maklumat daripada Nini Sabtu juga, walaupun Nini Sabtu tidak tahu akan nama Daeng Saring sebelumnya, kedudukan makam bapa kepada Panglima Hj Laut iaitu Daeng Saring ialah di Brunei dan beliau pernah mengziarahi makam tersebut pada suatu masa dulu. Melalui cerita lisan daripada keluarga mereka juga dipercayai yang bapa Panglima Hj Laut ini (Daeng Saring) adalah keturunan diRaja.


Lebih kurang jam 6.00 ptg kami bertolak balik daripada rumah Nini Sabtu di Kg Siang-Siang Laut. Kami sampai di Kota Kinabalu lebih kurang jam 11.30 mlm. Kami sekeluarga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada keluarga Nini Sabtu Bin Lamat dan keluarga Nini Ag Tuah Bin Lamat (pemilik bot) di atas layanan baik sepanjang siri ziarah tersebut.

Sebagai kesimpulannya, perjalanan ziarah ke Makam Panglima Hj Laut Bin Daeng Saring ini, sama ada sedar atau tidak terdapat banyak kebetulan-kebetulan yang telah tidak diduga yang membawa kepada kelancaran siri ziarah ini. Inilah yang dikatakan ‘kita hanya merancang, tetapi Allah yang menentukan’. ‘Kebetulan’ yang menarik juga ialah berjumpanya dua saudara yang sebelum ini tidak mengenali antara satu sama lain yang mempunyai nama yang begitu sering kita sebut dan kenali iaitu ‘Sabtu’ dan ‘Ahad’.

Berikut adalah beberapa gambar-gambar yang sempat dirakamkan disepanjang siri ziarah tersebut....

Tapak Dewan & Masjid Kg Siang-Siang Laut

Semasa menunggu Bot untuk ke Lokasi Makam Panglima Hj Laut


Sabtu & Ahad


Jalan Perhubungan ke Makam Panglima Hj Laut

Makam Panglima Hj Laut Bin Daeng Saring
Batu nisan berbentuk ‘Pemegang Parang’ adalah diambil dan diangkat sendiri oleh Panglima Hj Laut daripada Pulau Saa’ie semasa hayatnya sebagai persediaan untuk batu nisan beliau sendiri setelah beliau kembali ke rahmatullah. Dianggarkan makam ini telah berusia lebih dari 111 tahun. Semasa hayatnya juga Panglima Hj Laut dipercayai pernah singgah di sebuah Pulau yang dinamakan Pulau Langkapuri iaitu berkaitan dengan peristiwa semasa balik daripada menunaikan Ibadah Haji kapal telah patah kemudi dan kehabisan bekalan air (dipercayai beliaulah yang membaiki kemudi kapal tersebut). Semasa beliau mendarat di pulau tersebut, beliau telah ditegur/disapa oleh seseorang yang mengenali beliau. Di dalam pulau tersebut terdapatnya 7 buah perigi dan perigi yang ke-7 lah tempat beliau mengambil air tersebut. Selepas beliau naik ke kapal semula, pulau tersebut telah didapati ghaib/hilang dari pandangan.
Makam Bunga (Isteri Panglima Hj Laut)
Makam Panglima Maarali

-SEKIAN, TERIMA KASIH-

5 ulasan:

  1. Kuboo ani jaang dan inda baapa bapaduli olih Cucu2nya gaya2nya...Wais nya bukan calang2 ni banyaknya....Tapi inda olah jua andang2 atu tah nganya HUKUM ALAM ani.Gayanya Nini Hj.Laut ani mulanya inda ya mau nyasaa lagi kesubalah Sipitang setelah ya memasuki Daerah Lawas (Siang2 lauat) ani gaya2nya kan....Bukan calang2 ni WAIS Abis sia ani, Ba Kapal Laay nganya ni abis sia ani. Bangsa BUGIS ani bana2 tahan UJUD lah gaya2nya....Abis sia Nini Daeng Hj.Laut atau Nini Daeng Saing ani baasal daiee pada Karaton D GOA Makassar bah ini...Daie Sulawesi bukannya daiee Kepulauan Riau.Kaana DAENG ani memang asal daiee KARATON GOA d MAKASAR(AJA BUGIS)...Tapi inda tahu napa ya Laiee kemaiee ani...???

    BalasPadam
  2. Bugis Suluk : Awu bana tu asal Daeng2 ni yang banaa-banaanya daie Sulawesi bah tu kan, ngapa pulang bila dilihat daie yang mula2 aja bugis ke 26 / 28 pulang yang paling di atas salasilah ni, nganya zaman Daeng Saring ani nganya bah yang nda baapa diketahui di mana ya lahiie, maklumat lisan yg ku katahui daie padian yg tadahulu bapadah daie Riau nganya ja bisia (mangkali atu nganya singannya yg dikatahui), tapi bila dilihat bana2 tantu tia daie sulawesi tu kan.

    BalasPadam
  3. Baru tah ku tahu hari ani. 30/03/2018

    BalasPadam
  4. baru tau..moyang my dad ne

    BalasPadam
  5. baru ku tau today ane dads moyang

    BalasPadam